Kasih Itu Milikku (sambungan)

Aku baru sahaja selesai bersolat Isyak. Aku menadah tangan menghadap kekakasihku Yang Maha Esa. Hanya Dialah tempat aku mengadu nasib. Aku berdoa agar Allah mengampunkan dosa-dosaku, dosa-dosa orang tuaku, dosa-dosa guru-guruku, dosa-dosa ahli keluargaku, dosa-dosa sahabat-sahabatku, dan dosa kaum muslimin seluruhnya. Dan aku tidak pernah lupa berdoa agar Allah memberi sinar hidayah buat Natasha dann Angah. Aku juga tidak lupa agar Allah memberikan kesejahteraan ke atas roh Nur Faikaa Hasanah.

Aku menanggalkan telekungku dan menyangkutnya di sudut bilikku. Diari yang menjadi teman setiaku sejak dahulu kubuka. Pena di tangan aku larikan di atas kertas untuk mencoretkan segala isi hatiku. Sayup-sayup, kudengari esakan Natasha di bilikku di hujung sana. Aku menyarung tudung dan memberanikan diri untuk keluar meneliti apa yang telah terjadi. Pintu bilik itu terbuka dan dapat kudengari dengan jelas suara esakan Natasha.

"Hah, kau memang enak.." Ya Allah! Itu suara Angah. Terkejut sekali apabila aku melihat Angah hanya bertuala di hadapan Natasha yang menyelimuti tubuhnya dengan selimut. Esakannya jelas kedengaran. "Amy...tolong aku..." Natasha bersuara apabila aku menghampiri mereka.

"Angah! Apa yang Angah dah buat ni?" soalku lantang. "Aku cuma 'rasa' je..." Angah menjawab dengan jungkitan bahunya. Astaghfirullah... nampaknya abangku ini sudah tersimpang jauh dari landasan yang sebenarnya.

"Kau punya giliran lepas ni. Jom..." Aku sudah mula mengundurkan diri."Adik takkan benarkan!" Aku pantas berlari keluar. Angah mengejarku dan akhirnya dia berjaya memaut lenganku. Aku cuba meronta, namun Angah ternyata lebih kuat dariku. Aku cuba meronta dan aku memboloskan diri. Aku berlari ke bilik Natasha dan mengunci pintu. Tubuhnya kupeluk.

"Sha, sabar ya.." aku cuba memujuknya. Dia membalas pelukanku dengan erat. "Aku takut Amy..." ucapnya dalam esakan.

Pintu yang berkunci itu tiba-tiba bergegar dan terbuka. Aku sangat terkejut dan Angah pantas menarik tanganku. Dia cuba menundukkanku dan aku cuba melawan. Jeritan Natasha kedengaran sungguh kuat. Tetapi aku sedar, tiada siapa yang akan mendengarnya. Seisi rumah termasuk Pak Yaakob dan Mak Temah pergi ke Klang untuk menghadiri majlis perkahwinan anak saudara Pak Yaakob dan Mak Temah.

Akhirnya Angah menolakku ke dinding. Dia menghentak-hentakkan kepalaku ke dinding. Ceacair merah mengalir dari kepalaku. Aku tidak putus-putus berdoa agar ayah pulang. Aku mula lemah dan akhirnya rebah ke lantai. Aku merasakan tubuhku dikendong."Angah! Amy! Sha! Kenapa ni?" Ayah! Aku terasa ingin menjerit. Terima kasih, Ya Allah!

"Ayah..Angah dah ragut kesucian Sha... Tolong Amy, ayah! Tolong Amy!" Suara Natasha jelas kedengaran di pelupuk telingaku. Dalam keadaan yang separuh sedar itu, aku merasakan tubuhku dihempas ke lantai. Aku dapat melihat Natasha menghampiriku dan menampar lembut pipiku. Aku memaksa diriku membuka mata.

Natasha memelukku. Aku dapat melihat samar-samar ayah sedang bergelut dengan Angah. Tiba-tiba Angah menumbuk perut ayah membuatkan ayah terdorong ke belakang dan terduduk. Aku menyangkakan Angah akan berlari keluar namun ternyata sangkaanku meleset. Angah mengeluarkan sebilah pisau dari poketnya dan menghampiri ayah.

Aku sudah tidak mampu berfikir tatkala aku berlari mendapatkan ayah. Aku tidak mahu ayah ditikam oleh Angah! Aku tidak sanggup! Aku hanya mendengar jeritan Natasha tatkala aku merasakan bilah pisau itu menikam perutku. Aku merasakan tubuhku lemah dan langsung tidak berdaya.

Dalam kedaan sakit yang teramat itu, aku rebah namun ayah sempat memangkuku. Angah pula kelihatan kaku di hadapanku. Tangannya terketar-teketar memegang pisau yang dicemari darahku. Pisau di tangannya terlepas dan dia berlari keluar. Natasha pantas menghampiriku. Wajahnya dibasahi air mata. Begitu juga dengan ayah. Aku menghadiahkan senyum tawar. "Adik..sayang..ayah..." Dan aku terus mengulang kalimah Allah dengan harapan kesakitanku berkurangan. Dan dengan harapan jika Malaikat Izrail datang mencabut nyawaku aku akan mati dengan kalimah yang Agong dan suci itu.

Aku memandang wajah ayah dan tersenyum sebelum aku menutup mataku perlahan. Moga kesakitan yang dialami ini hilang. Dan jeritan memanggil namaku lenyap begitu sahaja.

*************************************************************************************

Aku membuka mataku perlahan-lahan. Wajah keibuan milik ibu tergambar jelas di hadapanku. "Adik? Adik dah sedar? Ya Allah... Terima kasih. Lega hati ibu, sayang. Akhirnya Allah makbulkan jugak doa ibu..." Ibu mengusap wajahku. Aku cuba mengukir senyuman untuk ibu yang amat kusayangi. Namun kesakitan secara tiba-tiba terasa mencucuk seluruh tubuhku. Aku merintih kesakitan.

Ibu kelihatan agak bimbang. Dia menekan punat di sisi katilku dan tidak berapa lama kemudian, seorang doktor bersama dua orang jururawat bergegas masuk. Mereka cuba menenangkanku dan doktor itu menyuntik sejenis cecair ke lenganku yang membuatkan aku kembali terlena.

Aku tersedar semula apabila aku terdengar suara keriuhan di dalam wadku. Seorang gadis menghampiri dan menyapaku. "Amy... tahniah..." suaranya lunak kedengaran. "Sha?" Aku bersuara lemah dan dia mengangguk sambil menghadiahkan senyuman manis buatku. Ya Allah! Manisnya engkau bertudung, Sha... Namun, mindaku terjerat dengan suatu persoalan. Mengapa ucap tahniah padaku?

Seorang gadis datang menghampiriku bersama ibu bagai menjawab soalanku. Alissa menyerahkan sekeping sampul berwarna coklat kepadaku. Aku membukanya perlahan-lahan dengan perasaan yang agak berdebar. Alissa tersenyum manis menampakkan barisan giginya yang putih tersusun bak mutiara dikarang. Ya Allah... Indah sungguh ciptaan-Mu.. Sempat hatiku memuji keindahan ciptaan Ilahi.

Slip di tanganku kuteliti. Kepalaku terasa berdenyut menatap tulisan yang tertulis di situ. Aku bagaikan tidak percaya pada apa yang tertulis di dalamnya. Aku terkejut yang amat sangat dan akhirnya aku pitam di situ. Slip itu menyatakan bahawa aku berjaya memperoleh 12A1 dalam peperiksaan SPMku! Maha Suci Allah! Alhamdulillah! Terima kasih, Ya Allah! Ternyata pengorbananku selama ini membuahkan hasil.

Aku hanya tersedar semula keesokan harinya. Ramai rakan-rakanku datang menziarahi dan mengucapkan tahniah. Aku gembira melihat senyuman bangga yang terukir pada wajah ayah dan ibu. Terima kasih, Ya Allah!

*************************************************************************************

Aku dibenarkan keluar setelah hampir sebulan terlantar di hospital. Aku diarahkan berehat di rumah ayah dan ibu tidak pernah lupa menjengukku setiap hari.

Aku sudah memohon tajaan untuk menyambung pelajaranku dalam bidang perubatan di Jordan. Aku mahu menjadi seorang doktor yang mampu berjasa pada agama, bangsa dan negara. Aku mahu ibu dan ayah terus gembira melihat kejayaanku setelah melakukan banyak pengorbanan untuk melahir dan membesarkan aku. Aku juga mahu, ibu dan ayah tahu pengorbanan mereka membesarkan aku tidak sia-sia. Terima Kasih, Ya Allah kerana membantuku membahagiakan kedua orang tuaku yang amat kusayangi.

*************************************************************************************

Aku duduk di atas katil. Segala peralatan sudah tersedia dan aku bakal berlepas ke Jordan untuk menyambung pengajianku dalam bidang perubatan yang amat aku minati. Alissa juga bakal menyambung pengajiannya dalam bidang farmasi di Australia. Hakim sudah berada di Jepun melanjutkan pelajarannya dalam bidang kejuruteraan. Setelah tamat belajar, Insya-Allah, Alissa dan Hakim akan dijodohkan. Aku yakin Alissa dan Hakim mampu membina baitul muslim seperti yang mereka cita-citakan. Natasha pula sedang menyambung penyajiannya dalam bidang Architechture di UKM.

Ibu pula sudah selamat disatukan dengan Pak Cik Saiful sebulan yang lalu. Aku gembira melihat ibu bahagia. Angah pula sudah dijatuhi hukuman gantung akibat perbuatannya mengedar dadah dan ganja. Jauh di sudut hatiku, aku sudah lama memaafkan Angah. Kerana bagiku, walau apapun yang terjadi, dia tetap saudara kandung sedarah sedagingku. Yang lahir dari rahim ibu dan berbinkan ayah. Aku berharap agar Angah sedar akan kesalahannya dan bertaubat dan semoga Allah menerima taubatnya.

Ketukan di pintu bilik mematikan lamunanku. Wajah manis Natasha tersembul. Aku mengajaknya masuk dan kami duduk di atas katilku. Dia mengeluarkan sehelai kertas yang amat kukenali. "Terima kasih atas segala-galanya, Amy... Tanpa kau aku pasti tak akan sampai ke tahap ini. Menjadi muslimah sejati dan hidup dengan cara hidup Islam..." Kami berpelukan erat. Terima kasih Ya Allah kerana menerangi hati kami dengan sinar hidayah-Mu... Alhamdulillah! Aku dan Natasha menatap kertas itu. Kami menghayati kata-kata itu dengan juraian air mata yang mengalir di pipi.

DENGARLAH DUHAI TEMANKU SAYANG...

Temanku,
Allah menciptakan manusi sama,
Dengan sebaik-baik kejadian,
Cuma amalan manusia itu berbeza,
Ada yang lalai dengan angan-angan,
Ada yang tekun berusaha,
Kerana Allah Maha Adil sifat-Nya,
Kelalaian dibalas kegagalan,
Kerajinan dibalas kejayaan pahala,
Kau diberi peluang untuk membuat pilihan,
Kau jua yang tanggung natijahnya.

Sedarlah temanku,
Kita akan pulang kepada-Nya,
Hidup di dunia akan ditanya,
Kita ini musafir di dunia,
Adakah diisi dengan sebaiknya,
Atau keseronokan semata?
Mahukah kita hidup terhina?
Tanpa ilmu sebagai bekalnya,
Kelak di sana rendah darjatnya.

Temanku,
Renunglah sebiji cawan,
Jika tidak dituang air,
Molekul udara memenuhinya,
Begitu jua diri kita,
Jika tidak diisikan iman,
Masuklah syitan bermaharajalela,
Diri kita perlu perisian,
Dengan ilmu dan agama,
Agar hidup dekat dengan-Nya,
Barulah hidup tengang bahagia.

Ketahuilah temanku,
Kemuliaan manusia, bukan pada luaran,
Tapi pada hati yang takutkan Tuhan,
Oleh itu, tekadkan keyakinan,
Kau ummat pilihan,
Jelaskan visi perjalanan,
Jadikan ilmu sebagai bekalan,
Sedarlah, kita pikul amanah Tuhan,
Ketinggian seseorang kerana iman.

Lantaran itu, carilah redha Tuhan,
Dengan melakukan sebaik-baik amalan,
Usaha x istiqamah – malas + yakin bahagi masa,
Asas keyakinan dan kejayaan.

Temanku,
Kau tak bodoh andai kau gagal selepas berusaha,
Kerana itu satu ujian dan dijanjikan pahala,
Bakal mengangkat darjatmu di sisi-Nya,
Jika kau redha, sabar, dan terus berusaha.

Tapi,
Kau sememangnya bodoh,
Jika kau langsung tak berusaha,
Kerana pasti kau gagal dan menderita,
Tiada nilaian pahala daripada-Nya,
Malah kau pula menanggung dosa,
Lantaran kau sia-siakan amanah berharga.

Temanku,
Bangkitlah dari lenamu yang panjang,
Yang tidak pernah berkesudahan,
Sekali kau terjatuh,
Jangan biarkan dirimu jatuh selamanya,
Kau punya kekuatan untuk bangkit semula,
Dan mara berlari kencang,
Mencipta taufan.

Berjuanglah temanku sayang,
Tanpa mengenal penat jemu,
Biar hidup kita derita dengan usaha,
Kelak kita akan dimulia,
Jika tidak di dunia,
Nun di syurga.

Dan kini aku sedar... Kasih Itu Milikku. Kasih dari keluarga akanku ingati selama-lamanya. Dan Kasih Tuhan akan ku terus sirami dan bajai dalam hatiku agar aku terus menjadi muslimah yang tidak terpesong dari landasan. Terima kasih, Ya Allah, kerana telah menyedarkan aku bahawa KASIH ITU MILIKKU... Dulu kini dan selamanya...

*************************************************************************************

Comments