Kasih Itu Milikku

Aku membuang pandang ke luar tingkap. Ayahku di sisi hanya dipangdang dengan hujung mata. Aku kini sudah mula bercuti di rumah setelah tamat peperiksaan SPMnya.

Ayahku sudah berjanji untuk menjemputku pulang ke rumah. ”Adik, kenapa macam tak suka je, ayah ambil balik rumah?” ayahku bersuara. Aku menoleh. ”Ayah... adik takutlah... anak-anak Mama Zara tu macam tak suka je kat adik..” Aku tergagap bersuara. Aku tahu ayah kurang senang mendengar kata-kataku pada anak-anak tirinya itu. Ayah sayang akan mereka sebagaimana ayah menyayangi aku, Along dan Angah. Cuma.. entahlah.. mungkin kasih itu masih belum menjadi milikku...

”Cik Amy...” Aku sekadar berdehem perlahan. ”Maaf.. pakcik dah terbiasa, Amy...” Pak Cik Yaakob mengeluarkan barang-barangku dari dalam bonet kereta. Walaupun ayahku kaya dan ternama, ayah dan ibu tidak pernah mengajarku menjadi sombong dan bongkak. Kami sering sahaja makan satu meja walaupun bersama pembantu, tidak seperti kebanyakan orang kaya yang seperti menghambakan pembantu mereka.

Aku menukar pakaian dan menyarung tudung ke kepala. Kehadiran Hakim agak menggusarkanku. Bilik kesayanganku sudah kuserahkan pada Natasha, saudara tiriku. Ibuku mengajarku agar aku menghormati tetamu walaupun tetamu itu adalah sebahagian daripada keluarga kita. Bagiku, ibuku adalah bidadari yang sentiasa memayungi hidupku. Ya Allah, kau ampunilah dosa kedua orang tuaku dan peliharalah mereka sebagaimana mereka memeliharaku sejak kecil...

Walaupun ibu dan ayah bercerai, ayah tidak pernah menghalangku bertemu dengan ibuku. Tetapi, aku harus tinggal bersama ayah lantaran kerjaya ibu yang jarang berada di rumah. Ibuku bekerja sebagai seorang operator kilang yang bekerja tidak tentu masa mencadangkan aku tinggal bersama ayah. Dan aku bersetuju. Aku mahu menjadi seorang anak yang taat.

”Amy! Turun makan! Heh! Nak turun makan pun kena panggil macam puteri, apa kes?” suara Natasha kupandang sepi. Aku bangkit dari katil dan keluar menuju ke meja makan.

************************************************************************************

”Mama ni, bukannya Sha tak nak. Tapi, rimaslah, ma... Tak cantik. Mama nak Sha jadi macam Amy tu, ke? Dia tak pelah, anak solehah. Duduk dalam rumah pun pakai tudung... Ajaran sesat agaknya!” Aku benar-benar terkejut mendengar kata-kata itu keluar dari bibir Natasha. Ya Allah, lembutkanlah hatinya.. Aku mula mengingati suatu hadis yang pernah ku pelajari di sekolah.

Apabila engkau melihat kemungkaran, maka cegahlah dengan tangan. Jika kamu tidak mampu, cegahlah dengan lidah. Jika tidak mampu, maka cegahlah dengan hati. Dan sesungguhnya, ia adalah selemah-lemah iman.

Dan aku, memberanikan diri untuk menegurnya. Dengan lafaz basmalah, aku melangkah keluar dari bilikku menghampiri Mama Zara dan Natasha. Ku lihat air jernih sudah mula bertakung di pelupuk mata Mama Zara. ”Ma, kenapa ni?” soalku agak pelik melihat mereka.

”Dahlah, ma. Sha nak keluar. Mama nak bagi nasihat, ha, mama bagi je kat budak alim, ni hah! Sha rimaslah mama asyik membebel je..” Aku terkedu mendengar kata-katanya. ”Astaghfirullah al azim, Sha... Tak baik cakap dengan mama macam tu. Dia mama Sha...” Aku cuba menasihati.

”Heh! Kau siapa ha, nak nasihat aku? Dahlah, aku rimas betul!” Natasha menghentak-hentakkan kakinya ke lantai dan berlalu pergi. Ya Allah.. Bukakanlah pintu hidayah-Mu buat Natasha...

*************************************************************************************

”Ibu... Adik tak sanggup nak duduk dengan ayah lagi... Adik takut,” Ibu yang sedang menggoreng ayam di dapur menoleh, agak terkejut dengan kenyataanku. ”Apa yang adik takut?” soal ibu. ”Bu, Sha dengan Hakim tu, macam lainlah, bu... Diorang suka bangkang cakap mama, ayah. Adik takut. Adik tak kuat iman...” Ibu mengusap kepalaku. ”Adik.. Adik kena kuat. Apa kata adik ikut ibu pergi markas malam ni? Biar tenang hati adik...” ibu cuba memujukku.

Malam itu, aku mengikut ibu ke markasnya. Seperti kebiasaannya, kami akan bertadarus bersama-sama rakan-rakan ibu yang lain dan kemudiannya ada tazkirah ringkas. Selalunya mereka menekankan tentang kehidupan wanita pada zaman moden ini.

Kemudian, mereka akn berpecah ke kelas masing-masing. Ibuku mengajar muqaddam bagi kanak-kanak sekolah rendah yang kebanyakannya merupakan anak-anak setinggan. Dan kebiasaannya, tiada bayaran yang dikenakan. Kata ibu, ibu mahu semua anak-anak muda Islam mahir dan fasih membaca Al-Quran. Ibu benar-benar berubah setelah berpisah dengan ayah. Benarlah, setiap kejadian itu sentiasa ada hikmahnya yang tersendiri... Dan kini aku merasainya.

*************************************************************************************

Aku sangat kagum dengan ibu. Walaupun ibuku tidak tinggal dalam rumah yang besar dan kaya seperti ayahku, namun ibuku punya segala-galanya. Segala-galanya untuk aku berasa sangat tenang setiap kali aku pulang ke rumah ibu.

Malam itu, aku membantu ibu mengajar anak-anak kecil itu belajar Al-Quran. Sedang kami sama-sama bertungkus-lumus mengajar, terdengar suara orang memberi salam. Ibu menjenguk keluar manakala aku meneruskan kerja-kerjaku mengajar anak-anak kecil itu membaca.

Beberapa minit kemudian, ibu kembali bersama-sama seorang anak kecil. Pakaiannya sahaja sudah menunjukkan kepadaku bahawa anak kecil itu bukanlah seperti anak-anak lain yang belajar di sini. "Anak-anak, hari ni, kita ada kawan baru. Namanya Faikaa. Faikaa, ini tempat Faikaa. Ini, Kak Amy, anak ibu.." ibu memperkenalkan aku pada anak kecil itu. Dia tersenyum manis dan duduk di hadapanku. Dan kami meneruskan kerja kami mengajar.

Malam itu, ketika ibu memandu pulang ke rumah, aku bersuara. "Ibu, Faikaa tu lain dari yang lain, kan?" "Faikaa tu anak orang paling kaya kat taman kita... Ayah dia pemilik syarikat tapi, ibu dia dah meninggal. Dia anak keempat. Tapi, ayah Faikaa tu memang penyokong kuat persatuan kita ni. Ibu Faikaa pula dulu pengerusi kat sini.."Ibu tidak lagi bersuara dan aku memahami. Mungkin ibu sedih mahu bercerita tentang ibu Faikaa..

************************************************************************************

Hari ini, cutiku bersama ibu sudah tamat. mungkin minggu hadapan baru aku akan kembali ke sini. Ke rumah yang banyak memberi ketenangan padaku. Aku dibantu ibu mengemas barang-barang yang aku akan bawa pulang ke rumah ayah. Berat rasanya hati ini untuk meninggalkan ketenangan yang ada pada rumah ini. Tetapi, aku harus pulang kerana pemandu ayah telah sedia menunggu di ruang tamu rumah ibu. Aku menyalami dan memeluk ibu erat. Air mata yang cuba kutahan gugur jua. Begitu erat sekali kasih antara kami. Aku bersyukur punya ibu dan ayah yang amat menyayangi aku walaupun mereka telah berpisah.

Aku melambai pada ibu yang tersenyum manis. Kereta yang dipandu Pak Yaakob terus meluncur membelah jalan untuk pulang ke banglo mewah milik ayahku. Sebaik sahaja tiba di rumah, aku dikejutkan dengan bunyi muzik yang kuat dari ruang tamu.

Aku memandang Pak Yaakob. Lelaki separuh abad itu cuma menggeleng. Aku mengajak Pak Yaakob masuk melalui pintu dapur. Muka muram milik pembantu rumah, Mak Temah menjawab persoalanku. Pasti Natasha mengadakan partinya di rumah ini. Aku tahu ayah cukup pantang dengan parti seperti ini. Namun, ayah tidak ada. Dia pergi ke Medan bersama Mama Zara atas urusan perniagaan. Ayah akan pulang malam nanti.

Aku terus memanjat tangga naik ke bilikku. Dalam perjalanan, aku terdengar suara merdu milik Hakim mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran. Aku terus masuk ke dalam bilikku dan mengunci pintu. Aku berkemas dan solat Zohor. Selesai aku melipat telekung, telefon bimbitku berbunyi.

"Amy, Hakim ni," katanya agak dingin.

"Kenapa? Ada apa-apa yang Amy boleh bantu?" soalku sopan.

"Hakim mahu turun untuk halau mereka keluar. Hakim harap, Amy kunci pintu dan tak akan keluar walau apapun yang terjadi..." dengan kata-kata itu, talian dimatikan.

Aku agak terkejut mendengar kata-kata Hakim. Aku cuma mampu berharap agar tidak ada apa-apa yang buruk akan berlaku.

Seketika kemudian, muzik yang bingit kedengaran mati secara tiba-tiba. Aku mendengar dan memicingkan telinga untuk mengetahui apa yang bakal berlaku seterusnya.

"Apa ni, Hakim! Orang tengah happy, kau nak kacau daun pulak!" Jeritan lantang Natasha kedengaran.

"Kau tak hormat mama dengan ayah ke? Kalau kau nak buat maksiat, aku arahkan, kau keluar dari sini!" Suara lantang Hakim kedengaran.

"Ish, nyampah! Dahlah, kita tamatkan majlis kita di sini. Nanti kita enjoy lagi, ya geng!" Suara marah Natasha menampar cuping telingaku.

Suasana hingar-bingar seketika. Seketika kemudian, keadaan menjadi sunyi. Aku cuba mendengar jika ada perkara yang lebih buruk berlaku. Namun keadaan kekal sunyi sehinggalah kedengaran suara Natasha menjerit lantang.

"Hakim! Kau tak ada hak nak malukan aku depan kengkawan aku macam tu! Kau sepatutnya hormat aku, majlis aku!"

Suara dingin Hakim kedengaran. "Habis tu, kau tak pernah reti hormat orang lain sembahyang. Natasha, you are my sister, my twins! Aku mahu kau sedar! Kau lahir sebagai Islam. Sekadar berpuasa dan sambut Hari raya tidak boleh membuktikan yang kita adalah Islam. Kita sepatutnya menjadi islam tulen! Bukan Islam warisan. Aku sayangkan kau, Sha... Tolonglah dengar cakap aku!"

Aku dengar suara Natasha mendengus marah dan dentuman pintu yang kuat. Ya Allah... berilah sinar hidayah padanya, Ya Allah...

*************************************************************************************

Malam itu, aku bersama ibu meneruskan perjuaangan mengajar kanak-kanak kecil mengenali Al-Quran. Sedang kami sibuk melayani kerenah kanak-kanak kecil itu, Faikaa menghampiriku. Muka anak kecil itu kelihatan pucat dan kulihat dahinya berpeluh.

"Ika.. kenapa ni?" soalku agak cemas. "Sa...sakit..." begitu payah dia cuba bersuara. Tanggannya memegang erat perutnya.

"Ya Allah!" hanya itu yang mampu kuucapkan. Ibu menghampiri kami. "Kenapa ni, Amy...Ika?" soal ibu. Riak wajahnya menggambarkan yang dia juga risau dengan keadaan Faikaa.

"Entahlah, bu... Sakit katanya..." jawabku cemas bercampur resah.

"Tunggu, ibu pergi call ambulans.." Ibu bergegas pergi. Aku cuba menenangkan Faikaa. Aku membaringkan tubuh kecilnya di atas ribaanku. Aku beristighfar dan berdoa moga Allah mengurangkan rasa sakit yang sedang ditanggungnya.

Sebelah tangan Faikaa erat menggenggam jemari runcing milikku dan sebelah lagi memegang erat perutnya. Nafasnya tercungap tiba-tiba dan kulihat ada cecair merah mengalir dari hidung dan mulutnya memebuatkan aku semakin cemas.

Akhirnya gadis itu terkulai dalam pelukanku ketika ibu tiba bersama beberapa orang lelaki yang kukira datang untuk membantu. Faikaa dibawa ke hospital ditemani ibu. Aku tinggal dan menyambung kerja kami. Dalam hatiku, tidak putus-putus berdoa agar Faikaa selamat.

Sebaik sahaja pelajar terakhir meninggalkan kelas, aku bergegas mendapatkan teksi untuk ke hospital. Perjalanan yang cuma mengambil masa selama 10 minit itu kurasakan terlalu lama.

Setibanya di hospital, aku pantas bergegas ke lobi. Kelihatan ibu berdiri dengan wajah yang suram. "Amy, ini Pak Cik Saiful, ayah Faikaa. Encik Saiful, ini anak perempuan saya, Amy." Ibu memperkenalkan.

Lelaki itu cuma mengangguk dan tersenyum tawar. Riak wajahnya kelihatan sungguh tegang dan risau. Kelihatan seorang gadis yang kukira seusia denganku sedang duduk sambil meriba seorang kanak-kanak lelaki. Wajahnya sudah basah dengan air mata. Aku mengamati dan wajahnya jelas di tubir mataku. Dan aku terjerit kecil.

"Ya Allah, Lisa... Maafkan aku, sahabat. Aku tak sangka sama sekali. Kau terlalu berahsia dengan aku. Dia cuma mengukir senyum tawar. Alissa adalah sahabatku yang paling rapat di sekolah. Namun, lantaran kesibukan kami setelah tamat persekolahan, kami tidak pernah berhumpa dan hanya berhubung di telefon sekali-sekala. Dan suaranya yang sentiasa ceria dan tenang memberi nasihat kepadaku membuatkan aku tidak menyangka yang dia sudah kehilangan ibunya... Ya Allah, rupanya, kau menyimpan penderitaan yang jauh lebih hebat dariku. Maafkanku lantaran tidak pernah menyedarinya, sahabatku...

Seorang doktor menghampiri kami. "Kamu semua adalah keluarga adik Faikaa?" soalnya sopan. "Ya, saya ayahnya. Bagaimana dengan keadaan anak saya, doktor?" soal Pak Cik Saiful agak cemas. Doktor muda itu kelihatan agak berat untuk bersuara. "Encik sekeluarga boleh masuk dan lawat dia sekarang..."

Doktor itu membawa kami menuju ke wad yang menempatkan Faikaa. Mereka bergilir-gilir memeluk dan mencium Faikaa yang kelihatan lemah. Wajahnya masih pucat. Alissa menghampiri dan mengendong adiknya itu. "Ika...Ika kena kuat. Ika dah janji yang Ika akan masuk sekolah nanti.." Aku lihat gadis kecil itu menggeleng. "Ika tak nak pergi sekolah. Ika nak jumpa ummi. Ummi datang ajak Ika pergi tempat lain..." tersekat-sekat gadis kecil itu bersuara. Aku memegang erat lengan ibu. Air mataku sudah gugur begitu juga ibu. Seluruh wad itu disapa kesedihan yang maha hebat.

Darah merah mengalir dari bibir dan hidung Faikaa. "Ika, jangan tinggal kak long!" Aku hanya melihat gadis kecil itu memejamkan matanya perlahan. Pak Cik Saiful mengambil Faikaa dari pelukan Alissa. Aku pantas menghampiri dan memeluk tubuh Alissa yang kukira sudah lemah.

Ibu berlari keluar dan masuk semula bersama seorang doktor dan dua orang jururawat. Mereka kelihatan bertungkus-lumus melakukan sesuatu. Dan akhirnya, doktor itu berpaling ke arah kami dengan muka yang agak kecewa dan suram.

"Maafkan kami. Sesungguhnya Allah lebih sayangkan anak encik..." Dan apabila doktor itu berlalu pergi, aku mendengar suara Alissa mengucapkan 'Ya Allah' dan akhirnya rebah dalam pelukanku. Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepada-Nya kita kembali. Semoga roh Faikaa tenang bersemadi di alam barzakh. Moga Engkau merahmati rohnya, Ya Allah...

*************************************************************************************

Comments