KISAH DI SEBALIK 14 FEBRUARI

Amiriyah ialah kawasan perumahan yang besar di Baghdad. Letaknya di seberang Sungai Tigris dan boleh ke sana melalui jalan lapangan terbang. Kawasan ini memang terkenal di Baghdad.

Sebenarnya, Amiriyah ini ada sejarahnya yang tersendiri. Selama-lamanya, orang-orang di sini tidak akan melupakan tarikh keramat pada bulan Februari.

Sekarang ni, saya nak tanya kalian. Apa tarikh yang terkenal pada bulan Februari? Tarikh hari romantis yang disambut secara besar-besaran di negara mat salih sana? Dan budayanya mula menular dalam kalangan orang Tanah Melayu? Tarikh yang majoriti kalian sambut juga, terutama yang tengah hangat ber’chenta’ tu?

Tanggal 14 Februari, Hari Memperingati Kekasih ataupun Valentine’s Day, bukan?

Hari sambutan memperingati kekasih. Hari di mana kita akan nampak wanita-wanita dengan bangganya mengusung sejambak bunga di tangan masing-masing. Bunga-bunga ini pula kebanyakannya bunga mawar merah dan bilangannya mempunyai maksud tertentu. Kalau tiga tu, I love you. Kalau Lima pula, I love you very much. Lepas tu pula, warna-warnanya pun ada maksud yang tersendiri.

Bagi si gadis, mendapat bunga bermaksud, penghargaan kasih sayangnya daripada orang yang dicintai. Bagi sesetengah lelaki pula, memberi sejambak bunga bermaksud kocek sudah rabak sebab harga bunga untuk sedozen mawar merah itu naik mencanak-canak sampai puluhan ringgit untuk satu hari itu saja. Sudah tu, cukup ke dengan sejambak bunga saja? Mesti nak keluar makan-makan kan? Di mana ye? Mesti kalau boleh hendak hendak makan malam dengan si dia disirami cahaya lilin di hotel-hotel terkemuka. Duduk bersantai berborak dan ada pula yang menerima lamaran pada hari itu dan tidak kurang juga yang menonton cerita-cerita romantis di saluran televisyen.

Sekarang cuba kita bayangkan ini pula.

Tarikh – 13 Februari 1991 bersamaan 28 Rejab 1411

Tempat – Amiriyah, Iraq.

Waktu – malam menjelang Hari Memperingati Kekasih.

Ketika itu, suasana gembira dalam duka. Masih lagi dalam suasana menyambut hari kebesaran Israk dan Mikraj dalam Peperangan Teluk. Tapi, alah bias tegal biasa. Bukan tidak pernah mereka menyambut hari kebesaran dalam perang. Menyambut kegembiraan dalam kedukaan bukan perkara asing bagi rakyat Iraq. Masa perang dengan Iran dahulu pun mereka susah juga. Tapi, hidup mesti diteruskan. Bulan Rejab dianggap mulia kerana banyak peristiwa bersejarah dicatat dalam bulan ini. Sedangkan Baginda Rasulullah juga mengharamkan pertumpahan darah dalam bulan ini. Seperti yang kita sedia maklum, peristiwa besar bulan Rejab sudah pasti Israk dan Mikraj. Cuma mereka tidak sangka sambutan hari kebesaran umat Islam ini bakal berakhir dengan tangisan. Dan sejarahnya akan terus terpahat di hati dan sanubari setiap seorang rakyat Iraq di bumi bertuah ini.

Tahun itu, penduduk Amiriyah bercadang hendak menyambut hari Israk dan Mikraj bersama-sama, tapi keadaan tidak mengizinkan mereka bergembira. Bagaimana nanti kalau bom meletup? Mesti mereka akn bertempiaran lari. Mungkin akan ada yang mati. Ah! Tak boleh jadi, mereka harus mencari jalan uantuk selamat dan dapat menyambut kegembiraan bersama-sama. Dan kalau boleh, biarlah tahun ini perayaan dapat disambut secara lebih meriah lagi.

Perang Teluk ini tidak membawa apa-apa makna bagi mereka. Menakluki Kuwait hanyalah angan-angan Saddam Hussein. Cuma mereka tetap bimbangkan keselamatan ahli keluarga yang telah dikerah menjadi askar-askar Saddam Hussein. Apatah lagi selepas berbulan-bulan bertempur di Kuwait, pihak tentera Amerika menyerang negara mereka pula. Bukan mereka tidak biasa hidup dalam peperangan, hanya mereka tidak dapat mengagak apakah jenis artileri yang digunakan oleh tentera Amerika yang negaranya beribu-ribu batu jauhnya dari Iraq.

Akhirnya, penduduk Amiriyah semuanya bersepakat untuk menyambutnya di sebuah tempat perlindungan bawah tanah. Bukan sahaja tempat itu kebal, luas dan selesa, tetapi tempat itu juga cukup kelengkapan untuk mereka berlindung. Bukankah lebih baik bersama-sama sanak saudara, adik-beradik dan rakan-rakan di sana? Sang suami juga sudah sepakat. Biarlah kaum wanita dan kanak-kanak sahaja bergembira, kerana mereka sudah cukup menderita.

Lagipun walaupun tempat itu luas, tetapi tempat itu tidak dapat tampung kehadiran kaum lelaki sekali. Biarlah isteri dan anak-anak tersayang berkumpul bersama-sama. Siapa lagi yang lebih gembira kalau tidak kanak-kanak? Mesti mereka suka dapat mengutip gula-gula dan makan coklat bersama rakan-rakan sepermainan. Biarlah hanya satu malam sahaja mereka berpisah. Pasti esok, mereka akan dapat bersama kembali, bukan?

Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada anak-anak yang terlompat-lompat kegembiraan dan mengusap pipi isteri-isteri yang mengusung dulang-dulang yang berisi teh serta manisan, mereka mengucapkan selamat tinggal dan berjanji untuk menjemput keluarga masing-masing keesokan harinya. Demi isteri dan anak-anak, mereka rela berkorban. Mereka rela tinggal di rumah yang tidak tentu selamat daripada hujan bom tentera Amerika yang cuba ‘memerdekakan’ Kuwait yang dicerobohi Iraq.

Seronoknya kaum wanita tidak terhingga. Buat pertama kalinya, mereka dapat ‘bebas’ daripada suami masing-masing. Ada yang bergosip, ada juga yang berkongsi rahsia. Yang remaja seronok bercerita tentang satu perasaan aneh di hati mereka. Ah! Rupanya mereka baru mengenal cinta. Ah! Indah sungguh dunia ini apabila wajah si dia dapat ditatap setiap hari! Si ibu hanya tersenyum melihat gelagat mereka. Ia lah, bukan senang hendak dapat keizinan keluar rumah dan berkumpul ramai-ramai macam ni! Peluang yang diberikan mesti digunakan sebaiknya.

Istikan yang berisi teh panas sering bertukar tangan. Kanak-kanak dengan rakus mencari kilaycha dan disumbat ke dalam mulut. Pinggan-pinggan segera berisi timen al quzi, nasi berempah bercampur kekacang dan daging segera dihidangkan. Mereka sangat gembira. Lagipun tempat perlindungan itu luas dan dindingnya tebal. Kain-kain buat alas tidur sudah tersedia dan akan dihampar apabila masing-masing sudah kuyu.

Keadaan di dalam bilik itu memang selesa, apatah lagi di bahagian atas terletak biling angin untuk pengudaraan, manakala di bahagian bawah adalah tangki air untuk bekalan air serta pemanasan. Di bawah sekali terletak tangki gas propane untuk sumber bahan api. Mereka mungkin terasa seperti berada di rumah sendiri.

Dinihari, keadaan sudah sunyi sepi. Masing-masing enak diulit mimpi-mimpi indah. Tiada siapa sedar apa yang berlaku di luar sana. Hujan peluru dan ledakan bom langsung tidak kedengaran. Namun, apabila jam berdenting empat kali, segala-galanya berubah.

Dentuman kuat membuatkan mereka terjaga dari tidur. Siling konkrit di atas mereka tiba-tiba runtuh. Ramai yang meraung ketakutan apabila melihat ketulan-ketulan batu besar jatuh menimpa mereka. Jeritan mereka bertukar ngongoian dan raungan kesakitan, malah ada yang terhenti sama sekali. Keadaan menjadi huru-hara. Yang tidak tertimpa batu-batuan segera mencari dan menarik anak mereka lalu bergegas untuk menyelamatkan diri. Dalam hati masing-masing bertanya, ‘apa yang telah terjadi?’

Dalam keadaan yang kelam-kabut dan hujan debu itu, mereka mendongak ke atas. Sebuah peluru berpandu telah dilancarkan ke arah telah dilancarkan ke arah tempat perlindungan mereka. Peluru bunker buster telah menyebabkan lubang yang besar di bahagian atas.

Yang selamat terpinga-pinga melihat mayat-mayat yang bergelimpangan. Suasana bertambah hingar-bingar dengan jerit-pekik meminta tolong, ngongoian ibu yang kehilangan anak dan anak menangis kerana tidak tahu ibu di mana. Mereka mula berlari untuk membuka pintu, tetapi terhalang oleh orang yang ramai di dalam bilik tersebut. Ada yang jatuh tersadung ketulan konkrit ataupun mayat yang terbaring. Habuk-habuk tebal mula memenuhi ruang. Mereka terbatuk-batuk dan udara terasa tersekat di kerongkong. Mana udara? Rupa-rupanya sistem pengudaraan mereka terhenti. Bolong angin telah rosak.

Beberapa orang cuba membuka pintu tapi gagal. Apalah kudrat mereka sebagai wanita untuk membuka pintu berlapis yang tebal. Lagipun, disebabkan serangan peluru berpandu, pintu-pintu di tempat perlindungan terkunci secara automatik. Mereka terperangkap di dalamnya.

Sedikit demi sedikit, keadaan di dalam tempat perlindungan menjadi panas. Dan semakin panas. Tangki gas propane mulai terbakar, air tangki juga turut mendidih menjadikan tempat perlindungan sebuah ketuhar dan stim sekali gus. Raungan kanak-kanak yang kepanasan semakin kuat. Ibu-ibu cuba mengetuk dinding dan pintu dengan harapan ada sesiapa yang di luar dapat mendengar mereka. Sayang, tiada siapa yang tahu apa yang berlaku di tempat perlindungan.

Sang suami yang berlindung di bawah katil di rumah akibat ketakutan dek hamburan bom-bom yang meledak sana-sini. Mereka bersyukur anak isteri berada di tempat perlindungan kerana hujan bom di luar maha hebat lagi. Bunyi letupannya bak halilintar dan kuasanya menggegarkan bumi.

Di dalam tempat perlindungan, ketukan di pintu menjadi semakin lemah. Ada yang terduduk sambil memeluk anak masing-masing. Ada yang batuk-batuk dek habuk yang menebal. Kepanasan sudah mencecah hampir 50 darjah Celcius dan suhu semakin meningkat. Peluh sudah membasahi badan dan sedikit demi sedikit titik-titik peluh sudah hilang dibakar haba yang semakin menggila. Tiada apa yang boleh mereka lakukan sekarang. Hanya Allah tempat mereka berlindung. Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Semoga Allah ampunkan dosa-dosa kami. Ya Allah!

Lebih kurang 400 wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam kejadian tersebut. Mayat-mayat mereka hanya dijumpai setelah matahari tegak memanaskan bumi. Keadaannya sungguh dahsyat. Ada yang rentung sehingga sukar untuk dikenali. Hanya cebisan pakaian dan sedikit barang kemas menjadi pengenalan diri. Ramai yang meraung melihat keadaan tersebut. Ramai yang menyesal tak sudah menghantar isteri, anak, adik dan saudara perempuan mereka ke tempat perlindungan tersebut.

Tapi, siapa sangka tempat perlindungan itu menjadi mangsa bom tentera Amerika? Siapa sangka bilik perlindungan yang kebaltidak mampu menahan bom tentera Amerika? Siapa yang mahu disalahkan? Saddamkah kerana kerakusannya mengundang bala? Ataupun tentera Amerika yang sewenag-wenangnya mengebom bilik bawah tanah yang menempatkan orang-orang awam? Salah siapa sebenarnya? Siapa yang akan bertanggungjawab di atas kematian mereka? Kematian yang sebegitu!

Sudah bertahun-tahun peristiwa itu berlaku, tapi kesannya masih jelas terpahat di hati setiap penduduk Amiriyah.

Angin yang bertiup lembut seolah-olah faham akan jiwa penduduk yang masih lagi tercalar. Mereka tidak bersalah. Mereka bukan mahu berperang. Apa yang mereka mahu adalah tinggal dengan harmoni di sini. Mereka merajuk dengan penduduk dunia, tapi siapa yang akan memujuk mereka? Merawat hati yang sudah berkali-kali terluka.

Melangkah sahaja masuk ke dalam bilik perlindungan tersebut, hati dihenyak perasaan pilu. Suasana malap dan sunyi. Terasa meremang bulu roma, bukan kerana ketakutan, tetapi perasaan yang sukar digambarkan. Pilu. Sedih. Geram. Sakit hati. Semua perasaan ini bercampur-baur. Hanya cahaya dari siling yang berlubang seolah-olah melambangkan sinar harapan dalam kegelapan yang memilukan ini. Keadaannya sungguh sayu. Seperti tempat ini juga masih bersedih. Berkabung, mengenang beratus-ratus kanak-kanak dan wanita yang terbunuh di dalamnya.

Dinding-dindingnya dipenuhi dengan gambar-gambar mereka yang terbunuh. Menitis air mata melihat gambar kanak-kanak comel yang tersenyum dengan gigi yang rompong dan comot. Mereka memang sungguh comel! Inilah wajah mereka yang terbunuh dalam peristiwa tersebut. Inilah harga peperangan yang harus dibayar oleh penduduk Amiriyah.

Bayangkan bagaimana hancur luluhnya hati seorang ayah yang terpaksa mencari mayat anaknya di celah-celah mayat yang bergelimpangan. Cuba fikirkan, jika kita seorang asing pun sungguh merasa sedih dengan kejadian itu, apa perasaan ibu bapa dan keluarga mereka yang terbunuh hari itu?

Seorang wanita berusia sekita 40-an berada di tempat perlindungan itu. Raut wajahnya kelihatan tegas, tapi terpancar kesedihan yang dalam pada sinar matanya. Dia bercerita dengan tenang:

“Lapan anakku mati di sini. Kami duduk dan kesemua anak-anakku bersama. Tapi malam itu, aku harus keluar. Baju anakku yang seorang itu sudah kotor akibat terlalu gembira bermain dengan kawan-kawannya. Aku terpaksa menyalin pakaiannya, tapi aku tidak membawa pakaian bersih untuknya.

Aku beritahu mereka yang aku harus keluar dan menasihati mereka supaya tidak berjauhan antara satu sama lain. Lagipun mereka sudah mengantuk kerana hari sudah larut malam. Aku berlari pulang. Beberapa minit selepas itu aku terdengar letupan demi letupan. Dalam hati aku bersyukur kerana mereka berada di sini. Inilah tempat paling selamat untuk mereka. Tapi akau silap. Apabila aku kembali sahaja ke sini, aku lihat tempat ini sudah musnah.

Aku ingin masuk, tetapi pintu tidak boleh dibuka. Aku menjerit-jerit meminta tolong. Ramai yang datang, tapi tiada siapa yang dapat membuka pintu bilik kebal ini. Akhirnya pasukan penyelamat pun tiba. Mereka berjaya juga membuka pintu bilik perlindungan ini, tapi sudah terlambat. Mereka semua sudah meninggal dunia.

Disebabkan peristiwa itu, aku tidah mahu tinggalkan tempat ini. Inilah rumah aku sekarang. Inilah tempat aku. Aku pastikan tempat ini sentiasa bersih untuk pelawat-pelawat menyaksikan dan memahami erti peperangan yang sebenar.”

Memang inilah contoh peperangan yang paling berharga untuk kita. Perang tidak mengenal mangsa. Wanita, orang tua dan kanak-kanak yang terkorban di Amiriyah ini akan dikenang sampai bila-bila. Merekalah magsa kerakusan manusia. Nyawa mereka seperti tiada harganya lagi. Dan wanita itu juga adalah contoh ketabahan seorang ibu. Anak-anak yang menjadi harapannya kini tinggal kenangan.

Tidak tersentuhkah hati kalian dengan cerita tersebut? Beratus-ratus wanita dan kanak-kanak mati akibat terbakar di dalam bilik yang terkunci. Sungguh kejam!

Jadi di sini, saya ingin kalian semua ingat tarikh 14 Februari ini baik-baik. Ingatlah, ini bukan Hari Memperingati Kekasih dan membazirkan duit dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah, apatah lagi menambah dosa. Tetapi, ingatlah hari ini dengan menghadiahkan Al-Fatehah kepada hampir 400 wanita dan kanak-kanak yang terkorban di Amiriyah bertahun-tahun yang lalu.

Comments